Hari itu, 18 December, 2010 adalah hari terakhir aku melangkah ke ICDC sebagai anak pelajar. Hari itu juga aku dan rakan sebaya dipakaikan jubah hitam dan menerima sehelai kertas seorang demi seorang. Entahlah, sebenarnya aku kurang mengerti, kata guru dan mama papaku, hari itu adalah "graduation day" untuk 6 year old students.
Berbanggakah aku kala itu? Entah, aku tak pasti. Yang aku tahu, aku punya rasa gembira dan terselit juga rasa sedih.
Gembira kerana aku dapat memperdengarkan surah Al-Naba' kepada para ibu bapa yang hadir. Sementara aku berasa sedih kerana melihat guru kesayanganku (teacher Junaidah) mengalirkan airmatanya tika beliau berucap.
Airmata ini turut mengalir saat aku bersalam-salaman dengan guru-guruku. Dan yang paling menyentuh perasaanku, saat aku memeluk teacher Junaidah, terasa benar kehangatan kasih sayangnya. Mana tidaknya, 3 tahun aku menjadi anak didiknya, dan selama itulah beliau mengajarku dengan penuh sabar dan kelembutan.
Terima kasih yang tak terhingga ku ucapkan kepada semua guru ICDC. Jasa kalian tetap ku bawa hingga ke akhir hayat, Kerana kalian adalah orang yang pertama mengenalkan diri ini ke dunia persekolahan.
No comments:
Post a Comment
Komen anda sesungguhnya inspirasi buat saya. Terima kasih daun keladi, sudi-sudikanlah jenguk ke sini.