setiap kali kita menjalani ibadah puasa dalam bulan Ramadhan, pasti kenangan berpuasa di alam kanak-kanak bermain diminda. Begitulah juga dengan diriku. Senyum pasti bertenggek diwajah, tika cerita puasa di alam kanak-kanak diselongkar kembali.
Ya, dizaman kanak-kanakku, aku tidak pernah merasa kenikmatan berpuasa bersama keluarga sendiri. Almaklumlah, sejak aku berusia 7 tahun, ayah dan ibuku terpaksa melepaskanku berjauhan dari mereka, demi masa depanku. Maklumlah, di tahun tujuh puluhan, tiada sekolah khas untuk anak-anak OKU pengelihatan di negeriku. Jadi, atas desakkan kepentingan ilmu terhadap anak sepertiku, ayah ibu rela menghantarku belajar di sekolah kkhas “princess Elizabeth” di Jb.
Di situlah aku mula belajar berpuasa. Dan di situlah, aku dan rakan-rakan sebaya menjalani ibadah puasa setiap kali datangnya Ramadhan. Kaki tangan sekolah itulah yang menjadi ayah dan ibu kepada kami. Pun begitu, keseronokan dan kemeriahan bulan Ramadhan tetap kami rasakan.
Seperti juga anak-anak normal, kami diajar solat sunat terawih. Setiap malam di bulan Ramadhan, arwah cikgu Sulaiman memandu kami mengerjakan 20 rakaat sunat terawih dan 3 rakaat sunat witir. Seingatku selama 6 tahun aku di sana, takpernah aku dan rakan-rakan meninggalkan solat sunat terawih dengan sengaja. Seperti juga di kampong, selesai solat sunat terawih, kami akan dijamu dengan makan minum yang enak.
Ya, masihku ingat lagi, tika aku di darjah 4. akal nakalku mula menyerlah. Aku dan beberapa rakan sebaya mula pandai mencari helah untuk tidak berpuasa. Mula-mula sekadar minum ai paip untuk hilangkan dahaga, tapi entah bagaimana tercetus idea ku untuk tidak berpuasa secara terang-terangan. Pada suatu hari, kerana terlalu lapar, dan kebetulan ada semut api mengigit jari tanganku, aku mengambil kesempatan untuk menangis sekuat hati dan berpanjangan. Dengan harapan, bila aku menangis bersunguh-sunguh, pasti penjaga asrama/akak akan rasa susah hati dan memberi aku makan. Sangkaanku tepat sekali. Dengan airmata yang masih bercucuran, aku dibawa naik ke dewan makan, lalu diberi makan. Dalam hatiku penuh kesyukuran. Sedang aku makan, datang arwah cikgu Sulaiman lantas menegurku, “hai cik kak, kenapa makan?” selamba aku menjawab, “sebab menangis.” “cik kak, setakat menangis tak batal puasa tau. Kenapa awak menangis?” Tanya cikgu lagi. “sakit jari, semut api gigit.” Bila mendengar saja jawaban dariku,, cikgu Sulaiman ketawa besar. Aku menjadi malu pula. “cik kak ni pandai psyko.” Kata cikgu Sulaiman. Aku hanya tersenyum.
Disuatu hari yang lain, aku dan seorang lagi kawan sebaya merancang bersama untuk berpuasa setengah hari saja pada hari itu. Bila saja loceng dibunyikan untuk anak-anak kecil yang masih tidak mampu berpuasa dan anak-anak bukan islam makan tengah hari, aku dan S pun turut sama berbaris untuk ke dewan makan. Bila tiba saja kami di dewan makan, kami segera ditanya oleh penjaga/akak, “hai,ni awak berdua kenapa tak puasa?” dengan muka sedih aku dan S serentak menjawab. “sakit perutlah kak, tak tahan, rasa nak muntah.” Sebelum sempat akak menyoal lebih panjang lagi, aku dan S selamba duduk dan makan. Sedang enak aku dan S menjamu selera, akak menghadiahkan cubitan sayang kepada kami berdua. Apa nak buat, lapar punya fasal, terima ajelah cubitan sayang tu dengan rasa sakit.
Seingatku, itulah dua tragedy terhasil dari kenakalan zaman kanak-kanakku di bulan Ramadhan. Pada tahun-tahun seterusnya, aku menjadi lebih memahami arti berpuasa. Berkat tunjuk ajar dan didikan agama ikhlas yang diberi oleh guru-guru dan penjaga asrama, kebanyakkan dari kami kini menjadi insan berjaya dalam hidup. Alhamdulillah.
No comments:
Post a Comment
Komen anda sesungguhnya inspirasi buat saya. Terima kasih daun keladi, sudi-sudikanlah jenguk ke sini.