Mei 2007 masih segar dalam ingatanku. Ketika itu putraku Haikal baru berusia 3 tahun. Kerana pada bulan inilah Haikal disahkan mengidap tonsillitis. Dan mulai bulan inilah juga Haikal asyik keluar masuk hospital disebabkan masalah tonsil. Tapi alhamdulillah kami telah belikan (Medical Assurance) sejak Haikal berusia 4 bulan lagi. Jadi, kami tak perlu risau tentang kos setiap kali dia dimasukkan ke hospital.
Awal Mei kami tiga beranak pulang ke kampong suamiku untuk menjenguk kedua mertuaku. Cuaca waktu itu teramatlah panas. Aku tahu cuaca begini tidak begitu sesuai untuk diri Haikal. Sewaktu di kampong, Haikal sungguh gembira. Dia bebas berlari sambil mengejar ayam. Almaklumlah rumah kami di KL mana nak dapat ayam dan Haikal pun tak pernah ku benarkan keluar keseorangan. Jadi, sesekali pulang ke kampong, Haikal berperangai tak ubah seperti burung terlepas dari sangkar. Terlalu sukar untuk kami mengawalnya. Mentelah lagi Uwan dan atuknya asyik menyebelahinya saja.
Setelah 3 malam kami di kampong, kami pun pulang ke KL semula kerana suamiku tak dapat nak bercuti panjang. Almaklumlah suamiku hanya bekerja sendiri. Jadi, kalau cuti panjang, alamat tak berasaplah dapur. Kami pulang ke KL dengan menaiki keretapi. Sengaja kami ambil tiket disebelah petang dan akan sampai di rumah pada sebelah malam. Sesampai saja di rumah, aku terus bersihkan Haikal dan berikan susu sebelum tidurkan dia. ketika dalam keretapi tadi, kami sudah pun makan. Malam itu aku tak dapat tidur lena, kerana ku lihat Haikal keresahan dalam tidurnya. Untuk meredakan kegelisahan Haikal, aku sapukan minyak keseluruh badan terutama kakinya. Fikirku pasti Haikal terlalu penat sewaktu di kampong. Yalah, sepanjang di sana, dia langsung tak duduk diam. Setelah minyak ku sapukan, ku lihat Haikal lebih selesa berbanding tadi.
Keesokan harinya, Haikal ku lihat tidak selincah hari-hari yang lalu, aku langsung mendapatkannya, ku dapati suhu badannya tidak normal. Lantas aku menyuapkan ubat demam. Waktu kecilnya, dia terlalu sukar nak diberi ubat. Anda boleh bayangkan betapa sukar seorang ibu OKU pengelihatan sepertiku terpaksa mengejar dan menggunakan psikologi yang tinggi untuk memenangi hati seorang anak kecil. Setiap kali makan ubat, Haikal akan menjerit sekuat-kuat hati seolah-olah dia didera oleh ibunya. Saat itu hanya Allah saja yang tahu betapa aku malu dengan jiran-jiran. Setelah ubat ku beri, suhu badannya mula menurun. Tetapi beberapa jam kemudian, suhunya tinggi kembali.
Hari itu Haikal tidak langsung menyentuh nasi. Susu pun sedikit sekali diminumnya. Pada sangkaanku demamnya akan pulih bila ubat ku berikan berulang kali mengikut jadual. Sangkaanku meleset sama sekali. Bila malam, suhu badan Haikal tinggi mendadak. Dia mula mengigil dan merengek agar sentiasa didukung. Hatiku jadi tak keruan. Airmata keibuan mula jatuh melihat keadaan Haikal yang belum pernah dialami sebelum ini. “bang balik. Haikal demam agak serius.” Aku memberitahu suamiku yang masih di tempat kerjanya saat itu. “ok. Mek siap dulu. Nanti abang balik dengan taksi dan kita terus hantar Haikal ke hospital.” Kata suamiku dihujung talian. Oleh kerana Haikal langsung tak mahu lepas dari dakapanku, aku hanya dapat memakai tudung tanpa bertukar pakaian. Nasib baiklah aku memang jenis berpakaian lengkap walau pun di rumah.
10 minit kemudian suamiku sampai ke rumah. Tanpa banyak bersoal jawab kami terus saja bawa Haikal ke hospital dengan menggunakan taksi yang sama. Jarak hospital dari rumah kami tidaklah jauh sangat. Hanya memakan masa lebih kuran 10 ke 15 minit saja. Setiba di hospital, kami terus dibawa oleh pengawal yang bertugas ke bahagian kecemasan. Tanpa lama menunggu, Haikal dibawa berjumpa doctor. Setelah pemereksaan dibuat, tonsil Haikkal didapati membengkak dan suhu badannya mencecah 40 darjah celcius. Aku tahu suhu begitu terlalu tinggi untuk seorang anak kecil. Setelah doctor bertanya serba sedikit tentang Haikal, doctor mengarah Nurse untuk memasukkan ubat demam melalui buntut. Oleh kerana badan Haikal kelihatan kering dan tidak bermaya, doctor syorkan Haikal dimasukkan ke wad. Lantas aku meminta agar Haikal direfer kepada doctor Lim. Dr. Lim sudah biasa dengan Haikal. Sejak dia lahir lagi. Jadi pada pendapatku Dr. Lim sudah tahu sejarah Haikal. Dengan ini memudahkan proses perubatan. Kerana dalam perubatan, seseorang doctor itu perlu tahu sejarah seseorang pesakit, sebelum sebarang ubat hendak diberi. Oleh kerana Haikal tidak boleh berpisah dari mama dan papanya, maka kami telah minta agar kami diberi (single room). Jadi, bolehlah mama dan papa Haikal tidur sekali sepanjang dia di hospital.
Sementara suamiku menguruskan perihal kemasukan Haikal ke wad, dia telah pun dipasang drib untuk menyalurkan air dalam proses turunkan suhu badannya. Beberapa minit kemudian, kami pun dibawa ke wad. malam itu aku dan suami terpaksa tidur bergilir-gilir kerana memangku Haikal. Haikal langsung tak mahu diletakkan di atas katil.
Keesokkan harinya Haikal dipereksa oleh Dr. Lim. Setelah pemereksaan rapi dibuat, senarai ubat dikeluarkan. Kesempatan ini ku ambil untuk bertanya itu dan ini kepada Dr. Lim. Inilah kali pertama Haikal demam panas dan mempunyai masalah tonsil. Haikal terpaksa terlantar di wad selama 6 hari. Hatiku teramat sayu waktu itu melihatkan Haikal yang lemah tak bermaya. Dia langsung tak makan selama beberapa hari.
Masuk hari yang kelima Haikal di hospital, tonsilnya mula mengecut. Dan mula nak minum susu. Sedikit demi sedikit Haikal mula berselera dan menampakkan kelincahan serta wajahnya yang ceria. Dalam hatiku tak putus-putus bersyukur kehadrat ilahi kerana kembalikan Haikal seperti dulu.
Sejak detik itulah Haikal sering keluar masuk hospital disebabkan masalah tonsil. Menurut Dr. Lim Haikal tidak perlu menjalani pembuangan tonsil, kerana tonsilnya kembali normal dalam masa beberapa hari. Pembedahan diperlukan sekiranya tonsil seseorang itu terus membengkak biar pun demam sudah sembuh.
No comments:
Post a Comment
Komen anda sesungguhnya inspirasi buat saya. Terima kasih daun keladi, sudi-sudikanlah jenguk ke sini.