Semalam telah berlangsung pameran IT di perkarangan MAB (Malaysia Association For The Blind). Pameran ini mempamerkan peralatan teknologi masa kini untuk kegunaan OKU pengelihatan, antaranya, eye-phone, mac pro, dan screen reader terkini,samada untuk hand phone juga PC. Tapi sayang seribu kali sayang, aku tak dapat merakamkan imej di situ kerana betri HP ku kehabisan.
Demi tidak mahu ketinggalan dalam pengetahuan arus teknologi moden, maka aku pun turut mengintai-intai beberapa booth yang terdapat di pameran tersebut. Kalau nak diturut kata hati, memang mac pro keluaran apple sungguh mencuri kehendak naluri. Namun apakan daya, menyedari bahawa itu bukan keperluan mendesak, dan ditambah lagi dengan kepingan kertas bernilai yang tidak mengizinkan, lantas cukuplah mac pro itu menjadi santapan jejariku dikala itu.
Dalam pada bahu saling berselisih,tongkat putih galak berlaga, aku terjumpa seorang kawan lama yang benar-benar lama tak ku temui. Kami mula berkenal mesra disekitar tahun 1979 – 1980. ketika itu aku masih di sekolah rendah.
Seingat aku, beliau ketika itu sedang menunggu keputusan STPM, dan aku juga difahamkan, beliau kala itu dalam persedian mental dan fisikal untuk beralih alam. Dari alam normal (sighted) ke alam abnormal (BLIND).
Menurut beliau, alamnya mula berubah ketika beliau sedang belajar di UM. Dan sehingga semalam, pengelihatannya hanya tinggal sedikit sahaja lagi. Beliau kini hanya dapat melihat cahaya dan bayang-bayang objek sahaja. Ah, itulah kehendak Allah.
Pertemuan semalam sedikit menyentuh perasaanku, mana tidaknya, setelah 30 tahun berlalu, namun beliau masih mengingati suara dan kenakalanku saat itu. Ah, alangkah terharu diri ini, karna namaku masih tercatat dalam kotak memorinya.
Menurut beliau lagi, setelah lebih 20 tahun menjadi pensyarah di UM, dia kini sudah pencen dan sedang berjinak-jinak dengan tanah. Dia kini aktif bertanam pisang. Tahniah mr. Tan Tok Siong.
Setelah setengah jam bertukar cerita dan khabar dengan beliau, aku bermohon diri untuk meneruskan langkahku ke beberapa booth lagi.
Kerana masa tidak mengizinkan aku berlama di pameran itu, lebih kurang jam 1.00 tengah hari, aku melangkah pulang dengan seribu kepuasan.
No comments:
Post a Comment
Komen anda sesungguhnya inspirasi buat saya. Terima kasih daun keladi, sudi-sudikanlah jenguk ke sini.