assalamualaikum dan salam sejahtera.
mudah-mudahan di laman yang tak seindahnya ini dapat memberi munafaat miski secebis cuma. inshaallah.

Tuesday, November 2, 2010

BINGKISAN BUAT AYAH

Assalamualaikum ayah. Dari kejauhan, anakmu ini sentiasa menadah tangan memohon kehadrat ilahi, agar ayah terus diberi kudrat dan dibanjiri kasih sayang demi menjaga ibu tercinta yang saat ini sedang keuzuran.

Ayah, aku sungguh bangga dan kagum bercampur terharu, punya seorang ayah sepertimu. Ketekunan dan kesungguhan menjaga ibu, suatu inspirasi buat diriku. Apakah mampu aku melakukan perkara yang sama terhadap pasanganku kelak?

Andai dulu, setiap hari, ibu pasti menyediakan makanan kegemaran ayah, tapi kini, sejak hamper dua bulan, tugas itu telah dilakukan ayah dengan rela.

Saat ibu segar, dialah yang mencuci pakaian ayah, agar sentiasa bersih dan kemas. Tapi kini, setiap hari, ayah akan memastikan pakaian ibu berganti, malah, jika kedapatan bau yang kurang menyegarkan, ayah segera menggantikan pakaian ibu.

Waktu ibu cergas, wanita itulah yang menguruskan rumah tangga, agar sentiasa sempurna dimata suaminya. Namun kini, ayah berlapang dada mengemas rumah, terutama di bilik tidur ibu. Bagi ayah, kalau boleh, biar ibu gembira dan tenang tinggal dalam rumah sendiri. Ayah mahu, ibu tetap merasakan kesegaran sepertimana ibu sihat.

Ya Allah, bertuahnya ibu, memiliki lelaki semulia ayah. “Ibu, ayah, doakanlah kami, agar sisa hidup kami juga sebahagia hidup kalian.”

Bila mana aku menghubungi ibu ayah menerusi telefon, ayah pasti menceritakan perihal kesihatan ibu yang semakin baik, dan tugas harian ayah dengan nada gembira. Seolah-olah tidak wujud kepenatan dan kekesalan dalam dirimu. Setiap kali aku cuba utarakan cadangan anak-anakmu untuk mengambil pembantu, ayah segera menolak, dengan alasan, “biarlah tangan ayah sendiri membelai ibu. Tiada apa lagi yang dapat ayah buktikan kasih ayah terhadap ibu. Atau setidak-tidaknya, ayah dapat menyelami betapa ibu selama ini kepenatan membahagiakan ayah.” Menitis airmataku kala itu. “oh, inikah yang dikatakan cinta sejati? Dapatkah aku memiliki cinta yang sama dari insan bernama suami?”

Maafkan kami anak-anakmu ibu, kerana tiada upaya untuk sentiasa berada di samping saat-saat tenagamu mula berkurangan. Maafkan kami ayah, kerana membiarkan ayah seorang diri menjaga dan membelai ibu. Percayalah ayah ibu, kasih sayangku tiada bertepi buat kalian.

Aku secara peribadi benar-benar memohon ampun darimu ibu ayah, kerana terpaksa berjauahan dari kalian. Dayaku hanya mampu menghubungi kalian menerusi telefon setiap hari. Inshaallah, ibu, ayah, aku akan pulang setiap dua bulan sekali. Dan Inshaallah, aku akan memastikan setiap minggu,ada antara anak-anakmu menjenguk kalian.

Terima kasih ibu, ayah, dari lubuk hatiku yang paling dalam. Kasih kalian tiada tndingan di dunia ini. Mudah-mudahan Allah sentiasa merahmati pengorbanan ayah buat ibu.

No comments:

Post a Comment

Komen anda sesungguhnya inspirasi buat saya. Terima kasih daun keladi, sudi-sudikanlah jenguk ke sini.