assalamualaikum dan salam sejahtera.
mudah-mudahan di laman yang tak seindahnya ini dapat memberi munafaat miski secebis cuma. inshaallah.

Tuesday, November 23, 2010

PERCUTIAN DI PANGKOR

17Nov. bersamaan 10 zulhijjah.

 

Hari ini jam 12.00, aku dan keluarga akan bertolak ke pangkor untuk bercuti selama dua malam.  Ini adalah kali pertama kami pergi bercuti ke pantai bersama si kecil.  Anakku begitu teruja.  Setiap hari, selepas papanya membeli tiket bas, dia akan menghitung hari.  Seperti biasa, setiap hari, dia akan bertanya padaku, "ma, hari ini hari apa? Dan tinggal berapa hari lagi kita nak pergi Pangkor?"  dan seperti biasa juga aku akan menyoalnya kembali.  Mahu tidak mahu, dia terpaksa mengiranya sendiri.  Itulah cara aku mengajar anakku mengira dan ingat nama-nama hari.

 

"Ya Allah, kau berkati dan berilah kebahagian jua keselamatan buat kami sekeluarga di sana nanti."  Sekembalinya aku dari Pangkor, akan ku coretkan perjalanan percutian kami, Inshaallah.

 

Jam telah pun menunjukkan 5.45 am, maka, aku harus off PC untuk menyiapkan sarapan pagi dan sedikit bekal buat anakku makan di atas bas.  Maklumlah, hari nikan raya, takut takbanyak kedai makan yang buka.

 

***20th November, Sabtu.

 

Alhamdulillah, aku dan family selamat tiba di "our sweet home" jam 8.00 malam tadi.  Miski pun perjalanan begitu memenatkan, tapi aku bahagia bila melihat anakku ceria dan berpuas hati dengan percutian ini.  Hari ini, akan ku cuba lakarkan pengalamanku disepanjang percutian kami.

 

Diawal perjalanan, kami telah diuji.  Ah, tergugat juga iman kesabaranku.  Mana tidak, kami sepatutnya menaiki bas ke Lumut, jam 12.00 tengah hari.  Tapi bila tiba masanya, batang hidung bas pun tidak kelihatan.  Setengah jam kemudian, suamiku pergi ke kaunter untuk merisik-risik kabar bas.  "maaf encik, bas lewat sikit.  Mungkin sampai pukul 1.30."  ujar kerani kaunter.  Bila mendengarkan jawaban itu, aku berkira-kira dalam hati, sempatlah kami pergi makan tengah hari dan menunaikan hak ke atas Dia yang menguasai alam.

 

Sekembalinya kami di tempat bas, jam sudah menunjukkan tepat 1.30.  tanpa berlengah, aku meminta anakku mengintai-intai nombor bas seperti yang tercatat dalam tiket.  Berpeluh-peluh si kecilku ke sana ke sini dengan tiket ditangannnya.  namun tak juga kelihatan.  Kerana tak berpuas hati, aku meminta dia melihat nama distinasi yang tertera di hadapan bas.  Pun tak juga kedapatan.  Jam 2.00, sekali lagi suami dan anakku ke kaunter.  "maaf cik, bas rosak.  Tak tahu pukul berapa boleh jalan."  Beri tahu Kerani Kaunter selamba.

 

Ah, sabar aja lah hati.  Maka, jadilah aku tiga beranak penghuni stesen bas Bukit Jalil paling lama.  Mana tidaknya, kami mula menjejakan kaki ke sini jam 11.00 pagi.  dan sehingga jam 2.30, kami belum menaiki bas lagi.  Sedang penumpang lain bersilih ganti.

 

Lebih kurang jam 3.15 petang, setelah berbotol-botol muniral jadi mangsa anakku, barulah kami dapat menaiki bas.  Alhamdaulillah, lega rasa dihati bila bas mula bergerak meninggalkan perkarangan ruangan parking 15 minit kemudian.  Menurut driver bas, perjalanan ke Lumut akan mengambil masa tiga jam setengah.  Ini bermakna kami akan tiba di Lumut jam 7.00 malam.  Kecut juga rasa hatiku, maklumlah tempat itu bukannya kampong halamanku dan ini adalah kali pertama aku ke sana.  Yalah, kata orang, kalau ke tempat baru, biarlah berjalan diwaktu siang, tentu luas pandangan.  Haha, tapi pandanganku dan suami dah tentu tiada beza siang mau pun malam.  Pun begitu, dikala siang, pasti banyak mata yang memerhatikan kami, lantas tentu ada hati mulia yang sudi menghulurkan tangan disaat kami memerlukan. ya  Tapi sekarang, mahu tidak mahu, kami terpaksa meneruskan perjalanan tika malam mula berlabuh.  So, apa yang mampu aku lakukan hanyalah, tawakkal kepada Yang Maha Besar saja.  Mudah-mudahan perjalanan dipermudahkan, Inshaallah.

 

Tepat seperti yang dikatakan oleh driver bas, kira-kira pukul 7.10 malam, kami tiba di Lumut.  Dari sini kami terpaksa mengambil feri untuk sampai ke Pangkor.

 

Dari stesen bas Lumut ke jeti, pilihan yang ada, hanya berjalan kaki.  Nasib kami  baik, kerana ada beberapa penumpang yang searah dengan kami.  Kesempatan ini kami ambil untuk mencari rumah Yang Maha Agung terlebih dahulu.  Alhamdulillah, tanpa keberatan, mereka membawa kami ke sana.  Setelah masing-masing menunaikan hak Yang Maha Besar, kami meneruskan perjalanan ke jeti.  Di jeti, sekali lagi kesyukuran bersarang dihati, kerana petugas-petugas di situ dengan ramah menghulurkan tangan untuk kami tiga beranak.

 

Nampak saja feri, berbagai soalan yang dilontarkan anakku kepada petugas jeti.  Dari tawa riangnya, aku tahu, betapa terujanya dia untuk menaiki feri buat pertama kali.  Kami mula menaiki feri jam 8.00.  perjalanan feri ke pulau Pangkor, memakan masa lebih kurang setengah jam.

 

Lebih kurang pukul 8.30 malam, kami tiba di jeti Pulau Pangkor.  Dari situ  kami mengambil teksi untuk ke tempat penginapan kami di Putri Bayu, Pasir Bogak.  Perjalanan dari jeti ke Pasir Bogak hanya memakan masa 5 minit sahaja.

 

Setiba kami di Putri Bayu, kami disambut mesra oleh petugas kaunter.  Tanpa sebarang masalah, proses "chek in" berjalan lancer.

 

Oleh kerana terlalu letih, tiada aktiviti yang kami lakukan di malam pertama.  Sekadar berehat di bilik.

 

Hari kedua, 18th November.

 

Selesai sarapan, kira-kira pukul 9.00 pagi, aku dan suami menunaikan hajat si kecil untuk bermain air di pantai.  Dia begitu seronok dan kelihatan tiada langsung perasaan takut dalam dirinya.  Bila melihat keterujaan anakku yang luar biasa, aku dan suami terpaksa memberi tumpuan seratus peratus ke atas si kecil kami.  Setiap pergerakkannya dikawalrapi oleh suamiku.  Mentelah lagi, keadaan pantainya tidak landai dan pasirnya mudah melurut bila dipijak.  Keadaan ini agak berbahaya untuk anak kecil.

 

Lebih kurang jam 11.00 pagi, kami kembali ke bilik.  Aktiviti seterusnya, kami bercadang untuk ronda-ronda Pulau Pangkor dengan teksi.

 

Setelah mendapatkan perkhidmatan teksi dari kaunter hotel, lebih kurang 11.30 pagi, kami mula menaiki teksi untuk keliling Pangkor.

 

Tempat pertama,kami dibawa ke Teluk Nipah.  Di sini, kedapatan banyak deretan kedai yang menjual t.shirt dan kedapatan juga restoran.  di sini juga terbentang laut luas.  Di kawasan ini juga, terdapat banyak chalet persendirian.

 

Alhamdulillah, kami mendapat driver teksi yang perihatin dengan keadaan aku dan suami.  Maka, setiap tempat yang dibawa, driver teksi akan turun sekali, dan dia dengan rela menjadi guide serta pengawal gerak geri si kecil kami.

 

Seterusnya, kami dibawa melawat ke Tokong tertua di Pangkor.  Di sini terdapat taman monyet, kolam ikan besar, kolam kura-kura dan taman burung.  Tokong ini terletak di kampong Pinang Kecil.

 

Lebih kurang pukul 1.30 tengah hari, kami berhenti makan di Teluk Dalam.  Selesai makan, kami meneruskan expidisi ronda-ronda kami.

 

Kemudian kami dibawa ke tempat sejarah,di mana terdapat serpihan kota belanda.  Di sini juga terdapat kedai yang menjual barangan craft tangan dan cendera hati seperti mug serta berbagai bentuk key chain.

 

Akhir sekali,kami dibawa ke kilang memproses hasil laut.  Terdapat berbagai jenis keropok samada mentah mau pun telah dijadikan makanan rengan.

 

Lebih kurang jam 3.30 petang, kami sampai semula ke hotel.  Sesudah asar, sekali lagi aku dan suami menemani si kecil ke pantai.  Sungguh leka dia bermain dengan menterjemahkan apa yang dilihat di kaca tv selama ini, seperti membina istana pasir.  Kami bermain-main air sehingga pukul 6.45 petang.

 

Disebelah malamnya, kami hanya bersiar-siar disekitar Pasir Bogak sahaja.  Di sini, terdapat banyak rumah kedai.  Hotel ini juga menyediakan perkhidmatan boat untuk melihat-lihat pulau.  Tapi kami tidak menggunakan perkhidmatan ini kerana anakku langsung tak berminat.  Mungkin belum tahpnya lagi untuk menghargai keindahan alam semulajadi.

 

Hari ketiga, 19th November.

 

Hari ini kami akan meninggalkan Pasir Bogak dengan membawa bersama memori manis serta garis-garis kepenatan ke KL.  Selesai sarapan, kira-kira pukul 10.45, kami "chek out" dan teksi telah bersedia untuk membawa kami ke jeti Pangkor.  Tambang yang dikenakan dari Pasir Bogak ke jeti ialah rm 10.  dan begitulah sebaliknya.

 

Kami mula menaiki feri pada pukul 11.15 dan feri mula bertolak meninggalkan Pulau Pangkor jam 11.30 pagi.  Setengah jam kemudian, kami tiba di jeti Lumut.  Disepanjang jalan dari jeti ke stesen bas Lumut, terdapat banyak deretan kedai termasuk kedai makan.

 

Alhamdulillah, kali ini bas ke KL datang tepat pada waktunya.  Kami mula meninggalkan Lumut jam 1.30 tengah hari.  Mengikut jadual, kami akan tiba di stesen bas Bukit Jalil jam 5.00 petang.  Tapi dek kerana hujan yang terlalu lebat, maka bas terpaksa dipandu perlahan.  Bila hujan, secara sendirinya di mana pun, berlakulah traffic jam yang melampau, terutama Bandaraya Kuala Lumpur.  Dengan pemanduan bas yang tersekat-sekat, maka, akhirnya sampailah kami di stesen bas Bukit Jalil jam 7.30 malam.

 

Secara keseluruhannya, aku sungguh berpuashati dengan percutian ini.  Disepanjang percutian, penerimaan orang awam terhadap kami begitu memuaskan.  Aku dapat rasakan, tiada langsung pandangan sinis dari mereka.  Begitu juga disetiap langkahan kami, begitu mudah pertolongan kami perolehi.  Terima kasih ku tidak terhingga kepada setiap insan berhati mulia yang ku temui disepanjang percutian kami.

 

Ya Allah, kesyukuran tidak terkira, kerana dengan izin dan kehendak Mu, kami sukses dalam perjalanan.

No comments:

Post a Comment

Komen anda sesungguhnya inspirasi buat saya. Terima kasih daun keladi, sudi-sudikanlah jenguk ke sini.