assalamualaikum dan salam sejahtera.
mudah-mudahan di laman yang tak seindahnya ini dapat memberi munafaat miski secebis cuma. inshaallah.

Monday, June 30, 2014

Salam Ramadhan



Berkayuh beca mencari belanja,
Berhujan berpanas tanpa dihiraukan;
Bertandang sudah ramadhan yang mulia,
Berushalah kita meraih ganjaran.



Laut terbentang dipayungi mentari,
Didadanya nelayan mencari rezki;
Bersyukur kita kehadrad ilahi,
Masih diketemukan ramadhan kali ini.



Berpantun seloka pembuka kata,
Sebagai kiasan menyuntin dara;
Ramadan diturunkan sungguh istimewa,
Pelbagai hikmah tersirat di dalamnya.



Merah delima di dalam raga,
Ibu hamil Nampak kempunan,
Apa daya tak punya wang;
Salami ramadhan dengan jiwa raga,
Untuk bisa mengutip butir-butir kekuatan,
bekal mengharungi sebelas bulan mendatang.



Belayar kapal tidak sekata,
Dek pukulan ombak yang bergelombang;
Jagalah lidah jagalah mata,
Agar ramadhan tidak berlubang.







Wednesday, June 18, 2014

Bermalam Di Pulau Mutiara3



Keesokan hari, seperti juga hari sebelumnya, sesudah bersarapan baru kami memulakan kembali explorasi.


Tempat yang pertama kami kunjungi untuk hari itu ialah Teluk Bahang.  Di Teluk Bahang terdapat pintu masuk ke Taman Negara dan boat untuk bersiar-siar di persisiran  laut Taman Negara.  Kami telah memberi peluang kepada Haikal untuk membuat pilihan apa yang ingin dilakukan.  Mungkin tidak selalu dapat naik boat, maka Haikal telah memilih untuk menaiki boat.


Setelah membayar rm 220 untuk sewan sebuah boat, kami telah dibawa oleh tuan punya syarikat boat untuk menaiki boat.  Di boat,telah menunggu pemandunya yang ramah membantu kami untuk naik ke boat.  Oh ya, sebelum pengunjung menaiki boat, setiap orang perlu memberi nama penuh kepada pendaftar di kaunter masuk.


Setiap pelancung pasti kagum dengan keindahan alam semulajadi yang masih terpelihara, lalu terbitlah pengakuan kebesaran Yang Maha Pencipta di dalam hati kecil.




Alhamdulillah, tiada sedikit pun rasa bosan dihati kami ketika di dalam boat, kerana pemandunya begitu ramah bercerita tentang persekitaran laut Taman Negara.  Kami dibawa melintasi Pantai Monyet/Monkey Beach,Pusat Penyelidikan Marrine USM serta boat juga melintasi persisiran Selat Melaka yang punya persimpangan tiga arah.  Disepanjang perjalanan kami, kelihatan pulau-pulau kecil, keteguhan gunung jerai, batu berbentuk penyu bertelur dan buaya.


Setiba di Pantai Keracut, kami diizinkan turun untuk melihat-lihat kawasan sambil menghirup kesegaran udara laut.  Di pantai ini terletak pusat penetasan telur penyu dan pameran penyu-penyu yang telah diawet.  Setengah jam kemudian, kami naik semula ke boat.


Dalam perjalanan pulang, kami dibenarkan turun di Pantai Monyet/Monkey Beach.  di sini pengunjung boleh bermandi manda.  Di pantai ini dilengkapi gerai makan, tandas dan surau.  Puas bermain air, kami berjamu selera.  Lebih kurang jam 12.30 tengah hari, boat datang kembali menjemput kami untuk pulang ke pangkalan.


Keadaan laut yang begitu tenang, membuat badan tak langsung terasa letih.  Lebih kurang jam 1.30, kami tiba semula di hotel.




Setelah memberi kesegaran kepada badan masing-masing, serta jamakkan solat asar ke dalam waktu Zuhur, lebih kurang jam 3.30 kami keluar semula dari hotel.  Kali ini kami ke Bukit Bendera.  Yalah kata orang “tak bermakna lawatan ke Pulau Pinang, kalau tak menaiki Bukit Bendera”.  Maka sebab tu kami nak melengkapkan kunjungan kami ke pulau mutiara ini.


Sesampai kami di kaunter tiket, kami dibawa terus oleh petugas di situ ke tempat menunggu keretapi.  Apabila tiba saja train, kami diberi izin untuk naik terlebih dahulu tanpa berbaris di barisan yang panjang.


Kalau sebelum ini, aku agak keliru berkenaan kenderaan apakah digunapakai untuk naik ke Bukit Bendera.  Mana tidaknya, ada suara-suara yang mengatakan ia mengunakan cable car, dan tak kurang juga ada yang mengatakan ia menggunakan keretapi.  Namun hari itu, jelas di depan mata, kenderaan yang digunakan ialah train.  Seperti mana train lrt.  Mengikut sejarah, sejak dari dulu sehingga kini, kenderaan yang digunakan ialah keretapi.  Bezanya, dahulu tradisional, sementara hari ini eletrik.


Pasti setiap pengunjung akan teruja melihat keindahan Pulau Pinang dari atas bukit.  Di atas bukit itu terdapat restaurant dan gerai-gerai menjual t.shirt serta pelbagai lagi.  Setelah puas ronda-ronda di tempat terbuka, kami masuk muzium kraft tangan burung hantu.  Di situ terdapat lebih kurang 40 negara yang mempamerkan hasil kreativiti  masing-masing.  Disebabkan petugas yang baik hati membawa kami ronda disegenap ruang sambil ramah memberi penerangan,, aku rasa terhutang pula lantas dengan rela hati  membeli beberapa buah keychain.  “erm, boleh juga aku jadikan buah tangan”  bisik hati kecilku.


Hamper jam 6.00 petang, kami turun semula ke kaki Bukit Bendera.  Kemudian kami mengambil teksi ke Persiaran Gurney.  Dek kerana Haikal belum puas merasa nasi lemak cili bilis, maka sekali lagi petang itu kami makan malam di situ.


6 Jun. Jumaat pagi lebih kurang jam 11.00,kami meninggalkan pulau mutiara untuk kembali ke Kuala Lumpur.

Saturday, June 14, 2014

Bermalam Di Pulau Mutiara2



Oh ya, tambang teksi/kereta sewa dari jeti ke Tanjung Bungah ialah rm 25.  sementara masa perjalanan lebih kurang setengah jam.


Setelah selesai proses “check in”, kami dihidangkan segelas minuman “welcome drink”.  Usai minum, kami naik ke bilik seperti mana nombor yang tertera pada kad kunci.




Malam itu kami hanya berehat di bilik untuk melepaskan lelah yang masih tersisa akibat perjalanan yang panjang disiang hari.  Mana tidaknya, cuba bayangkan, kami bertolak dari Kuala Lumpur jam 9.30 pagi dan tiba di Batuworth jam 5.45 petang.  Ini bermakna kami berada lebih kurang 8 jam lebih di dalam bas.  ah, letih memang letih.


Keesokan harinya selesai bersarapan, kami memulakan expedisi. Tempat yang pertama kami pergi ialah muzium 3d.  muzium itu terletak berhampiran jeti.  Berkebetulan hotel yang kami duduki tidak jauh dari bus stop, so kami mengambil keputusan untuk naik bas sahaja ke sana.


Di dalam muzium itu terdapat pelbagai lukisan yang berkonsepkan 3d.  Haikal begitu teruja melihat arca-arca yang semuanya kelihatan hidup.  Lukisan yang dipamerkan di situ merupakan ada nilai sejarah di Pulau Pinang, termasuk potret almarhum P.Ramli.


Setelah puas beligar dan bergambar di muzium 3d, kami menaiki bas ke Komtar.  Di situ kami menyelusuri jalan-jalan untuk mencari kedai urut rakan suamiku.  Sementara suamiku mendapatkan perkhidmatan urut dari kawannya, aku dan Haikal masuk ke Komtar.


Haikal seperti biasa akan mencari tempat kegemarannya, kedai buku.  Setelah menemui kedai buku Popular, dia terus ke sudut buku kegemarannya untuk membaca buku di situ.  Untuk tidak berlama di situ aku meminta Haikal memulih  dua buah buku yang diidamkan.




Setelah keluar dari kedai buku Popular, Haikal ternampak booth menjual apam balik.  Apa lagi, Haikal terus mengajakku ke booth itu untuk membelinya.  Aku menurut sahaja karna aku tahu  apam balik merupakan  kuih kegemarannya.  Ern, enak juga rasanya.  Harga?  80 sen/kupang sekeping.




apabila aku menerima telephone dari suamiku yang menandakan dia sudah selesai, aku dan Haikal pergi ke kedai urut kawan suamiku.  Kemudian kami bertiga kembali menyelusuri jalan-jalan di situ untuk mencari gerai kari kepala ikan Line Clear yang menjadi bualan ramai orang di KL.




Sebenarnya aku dan Haikal tidaklah gemar sangat kari mamak ni, namun demi meraikan keinginan suamiku, kami berdua turutkan saja.  Usai menjamu selera nasi dan  kari kepala ikan, kami teruskan lagi ronda-ronda di Penang Road untuk mencari kedai Calostar pula.  Di mana kedai Calostar adalah kedai borong menjual jeruk pak Ali.  Di kedai ini, pelanggan boleh meminta pekedai membungkus jeruk mengikut kehendak sendiri.  Pelanggan juga boleh meminta campuran buah mengikut citarasa.  Dan lebih special, pelanggan juga boleh merasa sebelum membeli.  Jeruk-jeruk buahan itu dijual dengan harga rm 13 1 kilogram.




Setelah kaki masing-masing sudah minta direhatkan, mentelah lagi bungkusan jeruk berat ditangan, kami mengambil teksi/kereta sewa sahaja pulang ke hotel.




Setelah melunaskan hak Yang Maha Esa, dan kaki sudah gagah berjalan kembali, kami keluar semula dari hotel lebih kurang jam 5,30 untuk ke Gurney Drive/persiaran Gurney.  Di situ terdapat deretan gerai yang menjual pelbagai makanan.  Oleh kerana kami sampai agak awal, maka tak banyak lagi gerai yang beroperasi.  Antara makanan yang menjadi pilihan kami, nasi lemak cili bilis, laksa penang yang kuahnya pekat dan sedap, rojak pasambok, (maaf kalau tak betul spelling) dan chok udang.  Erm chok udang kat sini agak special.  Kenapa?  Chok udang dicampur popia goring dan tahu goring yang bagi aku enak rasanya.




Usai menjamu selera dan ronda-ronda alakadar, lebih kurang jam 7.15 kami pulang ke hotel dengan menaiki bas.





Bersambung.

Wednesday, June 11, 2014

Bermalam Di Pulau Mutiara (Pulau Pinang)



Alhamdulillah, dengan izin Allah, minggu lalu kami tiga beranak telah bermusafir ke utara semenanjung iaitu Pulau Pinang.  Kami bermaustautin di sana selama tiga malam, empat hari.


Malu pada diri sendiri, kerana disepanjang usiaku, itulah kali pertama aku menjejakkan kaki di pulau mutiara itu.


Dek kerana tiada pilihan, disebabkan tiket keretapi dan flight telah sold out pada tarikh yang kami kehendaki, maka terpaksalah kami ke sana dengan menaiki bas.  aku sengaja membeli tiket bas yang berhenti di Batuwoth, untuk memberi peluang Haikal sesekali merasa menaiki ferry.


Ah, diawal perjalanan, kami telah diuji.  Atas ketentuan Allah, bas yang kami naiki telah membuat ragam.  Tepat bas berada di tengah-tengah jambatan Sungai Perak, tetiba bas berhenti.  Para penumpang telah diberi tahu oleh pemandu bas bahawa batang geer patah.


Nasib aku dan penumpang bas agak beruntung, kerana terdapat seorang penumpang yang suka membuat lawak.  Sekurang-kurangnya tidaklah kami tertekan ketika menunggu geer bas diperbaiki.


Selang beberapa minit setelah pengumuman batang geer patah, tetiba sekali lagi pemandu bersuara memberitahu bahawa penghawa dingin terpaksa di off kerana engine pula buat hal.


“kami minta maaf banyak-banyak, kerana kerosakkan engine agak serius, maka saya tak tahu berapa lama bas ini boleh berjalan kembali.”


Beritahu pemandu bas dengan suara yang mendatar.  Mungkin terselit rasa kesal dihatinya .


Penumpang lawak yang sedari tadi asyik mengeletek hati para penumpang lain, mula kehilangan idea.


Anak-anak kecil yang sedari tadi sedang lena mau pun leka bermain mula merengek-rengek kepada ibu mereka.  Mungkin anak-anak itu sudah mula rasa kurang selesa disebabkan kepanasan.  Untuk membawa anak-anak keluar bas, tak mungkin, kerana mentari sedang memancar terik dan berkebetulan saat itu tiada angin yang bertiup.


Bersyukur aku didalam hati, kerana Haikal sudah besar dan mampu melawan kepanasan dengan meminum air yang banyak.


Di luar bas, kedengaran pemandu sedang sibuk menalifon ke sana sini meminta bas-bas yang tak penuh penumpang agar berhenti mengambil sebahagian dari penumpangnya.


Alhamdulillah, sebuah bas demi sebuah bas berhenti untuk mengambil penumpang dari bas aku yang rosak.


Pemandu bas telah bertindak bijak, dengan memberi laluan kepada keluarga yang mempunyai anak-anak kecil terlebih dahulu.  Ketika aku tiga beraanak berlalu, yang tinggal hanyalah orang-orang dewasa sahaja.


Alhamdulillah, setelah melalui perjalanan yang agak panjang, lebih kurang jam 5.45, kami tiba di Batuworth.


Setelah menyegarkan badan dengan mengambil sedikit minuman dan menjamah sedikit makanan panas, kami menaiki ferry masuk ke pulau.


Kami selamat sampai ke tempat penginapan kami di hotel Central Seaview Tanjung Bungah lebih kurang jam 7.00 petang.


bersambung