Seperti biasa, pada setiap pagi sebelum anakku keluar meraih
ilmu dan suamiku keluar mencari bekalan
untuk meneruskan kehidupan kami, aku
akan menyediakan minuman kegemaran mereka sebagai pemanas perut.
Minuman yang menjadi kegemaran kedua-duanya di pagi hari
ialah teh. Maka untuk menjadikan teh
sedikit sihat, susu yang aku gunakan ialah susu tepung yang pastinya
berkalsium. Sesekali tak pernah aku
gunakan susu pekat manis.
Semalam, seperti juga hari-hari sebelumnya, aku masih tetap
menyediakan teh sementara menanti mereka pulang dari masjid. Namun aroma teh yang kusediakan hari itu agak
berbeza. Aromanya membuatkan aku teringat pada seseorang.
Bibirku lantas mengukir sebuah senyuman puas, serentak itu
juga pintu kamar memori terbuka luas.
Tanpa dipaksa aku dengan rela hati memasuki ke kamar
itu. Ya, masih segar jalan cerita itu,
yang wataknya adalah aku dan Zun.
Setiap petang, Zun akan membancuh setekoh teh berjenama
lipton. Menurut Zun, dia amat gemarkan
teh lipton kerana aromanya yang sedikit wangi berbanding dengan jenama lain.
Sungguh, teh yang dibancuh Zun memang ada ummp. Ianya diakui ramai kawan. Atas kefasihan Zun membancuh teh, maka setiap
kali tamu bertandang ke rumah bujang kami, lalu khidmad Zun pasti diperlukan. Rela atau terpaksa, Zun pasti membancuh
dengan ikhlas.
Kamar memoriku tertutup sendiri apabila mendengar suara anak
dan suamiku memberi salam.
Demi memastikan jenama teh, aku meminta anakku melihat
catatan yang tertera di kotak teh.
Ah, rupanya benar, aroma itu adalah aroma teh lipton
kegemaran teman serumahku dulu.
Adakah temanku Zun masih menggemari lipton? Entahlah, aku tak pasti. Kerana telah lama kami tidak ketemu.