assalamualaikum dan salam sejahtera.
mudah-mudahan di laman yang tak seindahnya ini dapat memberi munafaat miski secebis cuma. inshaallah.

Friday, April 6, 2012

BADAK SUMBU

mStar Online : Badak Sumbu Semakin Pupus Akibat Pemburuan
Mingguan mStarRencana
Published: Rabu Februari 8, 2012 MYT 7:13:00 PM
Updated: Rabu Februari 8, 2012 MYT 7:23:44 PM
Badak Sumbu Semakin Pupus Akibat Pemburuan
Oleh ALI IMRAN MOHD NOORDIN

Alvin Erut mengambil berat terhadap Badak Sumbu yang diberi nama Tam agar
haiwan itu terus terpelihara.
LAHAD DATU: Seekor badak sumbu Borneo Sumatera betina terjengket-jengket
berjalan sendirian merentasi hutan setiap hari. Ia bangun pagi, mencari
makanan, menggeselkan badannya ke pokok, berbunyi seolah-olah gembira dan
kemudian berendam berjam-jam di dalam kubang kesukaannya. Dihujung hari,
ia kembali ke kandangnya.
Badak sumbu itu bernama Puntung, antara yang terakhir dari kalangan
spesiesnya.
Kaki kiri hadapannya terputus ketika ia masih bayi lagi kerana termasuk ke
dalam perangkap manusia yang tidak bertanggungjawab.
Akibatnya, ia menderita kesakitan dan engalami kecederaan bertahun-tahun
lamanya kerana tidak dapat mengekalkan imbangan ketika berjengket di dalam
hutan.
Sejak 2007, kehidupannya menarik perhatian para penyelamat Badak Borneo
Sumatera, iaitu Jabatan Hidupan Liar Sabah, Borneo Rhino Alliance (Bora)
dan rakan strategik mereka, Yayasan Sime Darby.
Puntung berpindah ke “rumah baru” sejak Hari Natal tahun lepas, iaitu di
Borneo Rhino Sanctuary (BRS), tidak jauh dari habitat asalnya.
BRS adalah program kerajaan negeri Sabah bertempat di Tabin Wildlife
Reserve (TWR). Ia bermatlamat menghalang kepupusan badak sumbu Borneo
Sumatera, dengan berusaha meningkatkan kelahiran badak sumbu.
Hari ini, BRS melindungi tiga badak sumbu Borneo Sumatera. Dua daripadanya
betina iaitu Puntung dan Gelogob, manakala yang jantan dinamakan Tam.
Kesemua mereka telah mengharungi kehidupan yang tragis di hutan belantara.
Spesies itu, yang dilindungi sepenuhnya oleh undang-undang, adalah antara
haiwan yang paling terancam di dunia.
Hanya 150 daripadanya yang masih hidup iaitu di Sumatera (Indonesia) dan
kurang daripada 40 ekor di Borneo, kebanyakannya di Sabah.
“Puntung ialah ahli terbaru kami. Kami menangkapnya Disember lalu setelah
mengawasinya selama tiga tahun,” kata Pengerusi Bora, Dr Abdul Hamid
Ahmad. Pengarah Eksekutif Bora, Dr Junaidi @ John Payne berkata Puntung
sebenarnya selamat apabila merayau-rayau di dalam kawasan TWR. Namun,
tiada badak sumbu lain yang memasuki kawasan itu sejak 2007, menyebabkan
ia keseorangan dan tidak berupaya membiak.
“Kami kini terdesak untuk memastikan pembiakan berlalu bagi
mengelakkankepupusan. Bila kami dapat tahu pada 2009 yang Tam sudah subur,
kami pun memutuskan pada awal 2010 untuk menangkap Puntung untuk dijadikan
pasangannya. Gelogob sudah tidak subur lagi,” tambahnya.
Namun Puntung hanya berjaya ditangkap 22 bulan selepas itu, iaitu pada
Disember 2011.

Badak Sumbu semakin pupus akibat aktiviti pemburuan.
Setibanya di BRS, ia dibersihkan, diberi makan dan kesihatannya diperiksa.
Satu daripada tulang kakinya yang kudung didapati hilang dan ini
mengesahkan bahawa kaki itu terputus akibat perangkap binatang ketika
Puntung masih bayi.
Agak menakjubkan bagaimana Puntung terselamat dan masih hidup selepas
kecederaan itu, dan kini dalam keadaan sihat.
“Boleh dikatakan Puntung ini membawa harapan baru bagi mengelakkan
kepupusan satu khazanah negara,” kata Dr Payne. Dianggarkan
sekurang-kurangnya 60 peratus daripada populasi badak sumbu Borneo
Sumatera mati sejak dua dekad lalu.
Spesies ini juga kehilangan habitat utamanya di tanah rendah akibat
penerokaan manusia. Biasanya badak sumbu diburu kerana tanduknya yang
biasa digunakan dalam perubatan tradisional Cina. Harga tanduknya boleh
mencapai USD30,000 (RM90,000) sekilo.
Pemburuan besar-besaran telah mengurangkan populasi badak sumbu dari 1,000
ke 150 ekor dan jumlah itu semakin berkurangan. Ia semakin hampir dengan
kepupusan.
Hari ini, ancaman penerokaan tanah atau pemburuan tidak lagi seperti
dahulu, namun ancaman baharu pula timbul. Populasi badak sumbu yang subur
di dalam hutan tidak mencukupi. Jumlah mereka yang amat kecil di hutan
belantara Borneo mengurangkan kebarangkalian untuk mereka bertemu dan
berpasangan.
“Usaha kami di BRS adalah untuk menemukan mereka dan menambahkan
ebarangkalian itu,” kata Pengurus Lapangan Bora, Dr Zainal Zahari
Zainuddin. Dianggarkan hanya lima atau enam ekor badak sumbu betina subur
yang tinggal di Borneo, khususnya Sabah. TWR diwartakan pada 1984 setelah
lokasi dengan populasi tertinggi spesies itu dikenal pasti.
Badak Sumbu punyai emosi
Seperti manusia, badak sumbu juga mempunyai emosi. Kadang kala ia berasa
sugul. Namun, seorang pelatih dapat menanamkan kepercayaan pada diri
haiwan itu terhadap manusia.
Ketua kumpulan di BRS, Alvin Erut, 25, berkata seseorang pelatih harus
cepat memahami perilaku dan perangai setiap ekor badak sumbu kerana
masing-masing mempunyai personaliti berbeza.
Beliau mengambil contoh Tam, yang telah bersama BRS sejak 2008. “Tam
sangat sensitif tentang jadual makannya. Ia mahu makanannya dihidangkan
sebaik ia pulang ke kandangnya setiap petang. Kalau kami terlambat walau
sekejap pun, ia akan pula “eep” (eep ialah terminologi yang digunakan
untuk menggambarkan bunyi badak sumbu) meminta makanannya,” kata Alvin
sambil memberi Tam makan pisang yang telah dipotong-potong.
“Bila gembira pula, ia akan membuat bunyi “whale” (whale ialah sejenis
bunyi lain yang dikeluarkan badak sumbu). Tam sangat suka jika perutnya
diusap.” Alvin berkata Tam amat berdisiplin. Ia hanya kencing di tandasnya
sendiri dan di tempat yang telah ditandakan sebagai kawasannya. Ia juga
pulang ke kandang pada masa tertentu. Namun, jika emosinya terganggu,
perangainya boleh berubah.

Lumpur dapat menyejukkan badan Badak Sumbu.
Semua badak sumbu di BRS diberi makan daun, buah dan palet kuda. Selain
pemakanan berjadual, dedaun berlainan jenis juga ditinggalkan di dalam
kandang untuk dijamah bila-bila masa. Badak sumbu juga makan ketika mereka
dilepaskan ke dalam hutan setiap hari. Kemajuan di BRS hari ini bergantung
kepada kerjasama ketat antara kerajaan, NGO dan rakan korporat.
Ketua Pengarah Eksekutif Yayasan Sime Darby (SDF) Yatela Zainal Abidin
berkata yayasan itu menyediakan RM5 juta untuk tempoh tiga tahun sejak
2009 bagi program pemuliharaan badak sumbu Borneo Sumatera.
“SDF menyokong pemuliharaan spesies terancam secara konsisten menerusi
program Big 9 kami. Ia merangkumi sembilan spesies yang diklasifikasikan
sebagai terancam di Malaysia. Selain program badak sumbu, kami juga
menjalankan program bagi orang utan, gajah dan kera Bekantan,” katanya.
“Setakat ini, komitmen kami terhadap program Big 9 ialah RM 3.71 juta,”
tambahnya.
SDF juga bekerjasama dengan World Wide Fund for Nature (WWF)
menjalankankajian mengenai kehadiran harimau Malaya dan impaknya ke atas
estet Sime Darby Plantation di Sungai Dingin, Kedah.
SDF sedang mencari program yang sesuai untuk pemuliharaan beruang
matahari,burung Kenyalang, harimau dahan dan tempedau, yang juga dikenali
sebagai banteng. Mereka mengalu-alukan mana-mana pihak yang mempunyai
program yang baik supaya menemui mereka, bagi mengadakan kerjasama.
Pembiakan
Pembiakan badak sumbu bukannya suatu proses yang mudah. Satu-satunya
proses yang berjaya dengan badak sumbu dalam kurungan dari spesies ini
datang dari Emi, seekor badak sumbu yang kini telah mati. Ia amat subur
dan telah melahirkan tiga anak di Zoo Cincinnati di Amerika Syarikat.
Selain Emi, badak sumbu yang subur hanya boleh didapati di Sumatera
(Indonesia) dan Sabah.

Pada Februari 2010, Sumatran Rhino Sanctuary di Indonesia mengumumkan
badak sumbunya yang pertama bunting di dalam kurungannya. Namun, badak
sumbu itu akhirnya kehilangan kandungannya.
Puntung masih baru di BRS, dan tidak banyak yang diketahui tentang
kesuburannya. Namun, ia telah berusia 12 tahun dan ini menandakan
kemungkinan positif baginya.
Dr Abdul Hamid berkata Bora menekankan pembiakan semula jadi antara
Puntung dengan Tam. Sekiranya cara itu tidak berkesan, maka kaedah
persenyawaan lain akan diusahakan.
Bora juga akan memulakan usaha mencari badak sumbu lain di luar kawasan
TWR bermula Februari.
Jika persenyawaan berjaya, mungkin bayi itu bakal dinamakan Putam bagi
menandakan perjalanan bersejarah ibu bapanya.

No comments:

Post a Comment

Komen anda sesungguhnya inspirasi buat saya. Terima kasih daun keladi, sudi-sudikanlah jenguk ke sini.